Monday, 23 July 2018

PERTALIAN AL-QURAN DENGAN KITAB-KITAB SAMAWI TERDAHULU


Penulisan ini bertujuan membincangkan hubungan yang wujud antara kitab Al-Quran dengan kitab-kitab samawi yang lain. Sedikit pengenalan berkenaan Al-Quran diselitkan sebagai muqaddimah perbincangan ini. Antara yang diulas ialah definisi Al-Quran dan tuntutan beriman dengan kitab-kitab.

DEFINISI AL-QURAN
Al-Quran dari segi bahasa berasal daripada kalimah qiraah yang membawa erti ‘bacaan’ atau ‘himpunan huruf atau kalimah’. Manakala lafaz Al-Quran pula membawa erti ‘yang dibaca’.
Pengertian Al-Quran dari sudut istilah pula merujuk kepada kalam Allah yang bermukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad shallallahu `alaihi wasallam melalui perantaraan malaikat Jibril `alaihissalam, dalam bahasa Arab, secara mutawatir, dan menjadi suatu ibadah dengan membacanya (Zulkifli Ahmad, 2006).
Al-Quran turut dipanggil dengan nama-nama lain seperti Al-Furqan, Al-Kitab, At-Tanzil, Az-Zikr, Al-Mubin, Al-Huda dan Ar-Rahmah. Semua nama-nama ini diketahui berdasarkan kepada keterangan daripada Al-Quran. Uniknya, Allah menamakan Al-Quran dengan beberapa nama seperti tersebut adalah berkait rapat dengan fungsi Al-Quran itu sendiri terhadap umat manusia.

PERCAYA KEPADA KITAB-KITAB
Sebagai umat Islam, meyakini kitab-kitab yang diturunkan Allah adalah sebahagian daripada rukun-rukun Iman yang enam iaitu: beriman dengan kitab-kitab Allah. Namun, dewasa ini, perlu kerap diingatkan bahawasanya, selain Al-Quran terdapat beberapa lagi kitab yang telah Allah turunkan sebagai panduan kepada Rasul-rasul sebelum baginda Nabi Muhammad shallallahu `alaihi wasallam. Itulah sebabnya disebut beriman dengan KITAB-KITAB Allah. Kitab-kitab inilah yang dipanggil sebagai kitab-kitab samawi. Sebagaimana yang difirman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 136 maksudnya:
﴿ يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا آمِنوا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَالكِتابِ الَّذي نَزَّلَ عَلىٰ رَسولِهِ وَالكِتابِ الَّذي أَنزَلَ مِن قَبلُ ۚ وَمَن يَكفُر بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَاليَومِ الآخِرِ فَقَد ضَلَّ ضَلالًا بَعيدًا
Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh
Kitab-kitab yang wajib diimani ini juga disebut secara jelas dalam Al-Quran terdiri daripada kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa `alaihissalam, kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud `alaihissalam, kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa `alaihissalam dan Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad shallallahu `alaihi wasallam.
Walau bagaimanapun, kitab Zabur, Taurat dan Injil yang wujud pada ketika ini bukanlah kitab-kitab yang asli dan sama isinya dibandingkan pada awal penurunan di zaman Nabi-nabi tersebut. Orang Nasrani dan Yahudi telah banyak mengubah isi kandungannya. Sesetengah ayat telah ditukarkan tempatnya, sementara sebahagian ayat yang lain telah dibuang dan dihilangkannya, sehinggalah mereka memasukkan ayat-ayat mereka yang berasal dari akal dan pandangan mereka sendiri di dalam kitab-kitab tersebut.
Ringkasnya, kitab-kitab Taurat, Injil dan Zabur yang kita jumpai di sisi mereka pada hari ini bukanlah naskah kitab asli yang diturunkan Allah melainkan hanyalah terjemahan-terjemahan yang sentiasa mengalami perubahan, pertukaran, pertambahan dan pengurangan . (Al-Maududi, 2006)

HUBUNGAN AL-QURAN DENGAN KITAB-KITAB SAMAWI YANG LAIN
Asasnya, Al-Quran mempunyai perkaitan dan pertalian yang rapat dengan kitab samawi yang lain (kitab asli). Pertalian ini dapat kita singkap dengan penelitian terhadap ayat-ayat Al-Quran seperti berikut:
Al-Quran sebagai Penjaga kepada Kitab-kitab Sebelumnya
Kenyataan ini dibuktikan apabila kita mendapati Al-Quran membicarakan tentang Taurat dan Injil dalam ayat 47 surah Al-Maidah, Allah menegaskan persoalan ini dalam surah yang sama dalam sebahagian daripada ayat 48:
﴿ وَأَنزَلنا إِلَيكَ الكِتابَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِما بَينَ يَدَيهِ مِنَ الكِتابِ وَمُهَيمِنًا عَلَيهِ ۖ فَاحكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللَّهُ ۖ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم عَمّا جاءَكَ مِنَ الحَقِّ ۚ لِكُلٍّ جَعَلنا مِنكُم شِرعَةً وَمِنهاجًا ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً واحِدَةً وَلٰكِن لِيَبلُوَكُم في ما آتاكُم ۖ فَاستَبِقُوا الخَيراتِ ۚ إِلَى اللَّهِ مَرجِعُكُم جَميعًا فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ
Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya”.
Al-Quran sebagai Penentu kepada Perkara-perkara yang Menjadi Perselisihan Umat
Kenyataan ini dapat kita lihat menerusi firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 63 hingga 64:
﴿ تَاللَّهِ لَقَد أَرسَلنا إِلىٰ أُمَمٍ مِن قَبلِكَ فَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطانُ أَعمالَهُم فَهُوَ وَلِيُّهُمُ اليَومَ وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ ﴿ وَما أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتابَ إِلّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي اختَلَفوا فيهِ ۙ وَهُدًى وَرَحمَةً لِقَومٍ يُؤمِنونَ
Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu; maka dia lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
Al-Quran Menghapuskan Syariat Kitab-kitab Terdahulu
Hal ini selari dengan kedudukan selaku kitab terakhir kepada nabi terakhir. Al-Quran memansuhkan hukum-hakam yang terdapat pada kitab suci terdahulu kerana syariat yang dibawa kitab suci sebelum Nabi Muhammad bersifat terbatas pada lokaliti dan bangsa tertentu sahaja, sedangkan syariat yang dibawa Al-Quran adalah universal dan sesuai untuk semua umat. Hal ini diterangkan dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 106:
﴿ ما نَنسَخ مِن آيَةٍ أَو نُنسِها نَأتِ بِخَيرٍ مِنها أَو مِثلِها ۗ أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
Ringkasnya, antara hubungan yang kita perincikan di sini ialah hubungan Al-Quran sebagai penjaga kepada kitab yang lain, sebagai penentu kepada perkara yang diperselisihkan umat dan sebagai penghapus syariat kitab terdahulu (Mustaffa Abdullah, 2018).

RUJUKAN
Al-Maududi, Abul A'la. (2006). Asas-asas Islam. (H. Rahmat, Penterjemah) Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.
Mustaffa Abdullah. (2018). ABSQ2103 Ulum al-Quran (ed. 3). Shah Alam: Open University Malaysia (OUM).

Zulkifli Ahmad. (2006). Revisi studi syumul SPM pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah. Pasir Puteh: Pustaka Media Jaya.

No comments:

Post a Comment

KONSEP, FUNGSI & PERTIMBANGAN EKONOMI DALAM PERKAHWINAN

Kata kunci: konsep perkahwinan, fungsi-fungsi perkahwinan, pertimbangan ekonomi dalam perkahwinan, manusia masyarakat dan budaya, sains...