Pengumpulan Al-Quran merujuk kepada tindakan atau usaha mengumpul, menyalin dan membukukannya di dalam satu mushaf.
Kalimah Jam’al-Quran hadir dengan
dua makna. Pertama: menghafaz dan mengingati ayat-ayat Al-Quran (Manna al-Qattan, 2000) . Sebagaimana yang
disebutkan dalam Al-Quran dalam surah Al-Qiyamah ayat 17:
﴿ إِنَّ عَلَينا جَمعَهُ وَقُرآنَهُ ﴾
“Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan
Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu)”
Kedua: aktiviti mengumpulkan Al-Quran
dengan tersusun ayat-ayat dan surah-surah mengikut ketentuan yang telah
ditetapkan oleh Allah. Oleh yang demikian, Al-Quran terus kekal sampai ke
hari ini dan berkekalan sehingga ke hari kiamat tanpa perubahan sebagaimana
yang telah dijamin oleh Allah dalam surah Al-Hir ayat 9:
﴿ إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ
وَإِنّا لَهُ لَحافِظونَ ﴾
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan
Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
Usaha-usaha pengumpulan Al-Quran yang
dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad shallallahu `alaihi wasallam adalah
berdasarkan kepada kaedah hafalan dan tulisan, dengan tujuan menjamin
keaslian Al-Quran sebagai kalamullah yang bebas dari sebarang
penyelewengan.
Pengumpulan Al-Quran pada Zaman
Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam
Pada zaman Nabi, pengumpulan yang
dilakukan Nabi berlaku dalam dua bentuk.
·
pengumpulan dalam bentuk hafalan.
· pengumpulan dalam bentuk tulisan.
Pengumpulan Al-Quran dalam Bentuk Hafalan
Bentuk hafalan ini merupakan pendekatan
awal yang dilakukan oleh Nabi dan para sahabat. Individu pertama yang mengumpul
Al-Quran dengan makna menghafaz dan mengingatinya adalah Nabi Muhammad sendiri
kerana bagindalah orang yang menerima wahyu tersebut.
Seterusnya, apabila disampaikan wahyu
tersebut kepada para sahabat, mereka juga turut menyalin Al-Quran tersebut ke
dalam dada (menghafaznya). Hal ini demikian, para sahabat mempunyai minat dan
tumpuan yang tinggi kepada Al-Quran. Para sahabat juga sering mengulang kaji
bacaan Al-Quran beramai-ramai dan menghafaznya supaya senang mereka membacanya
dalam solat.
Melihat kepada kesungguhan mereka, Nabi
sendiri telah mengambil pendekatan membantu mereka mengulang kaji dan memberi
dorongan dan perangsang untuk terus berbuat demikian. Selain itu, Nabi juga
telah memilih salah seorang daripada sahabat untuk mengajarkan sahabatnya yang
lain. Jadi, apabila datang seseorang yang baru berhijrah ke Madinah, lantas
baginda Nabi akan menyerahkannya kepada sahabat untuk mengajar Al-Quran.
Pengumpulan Al-Quran dalam Bentuk Tulisan
Pengumpulan Al-Quran dalam bentuk tulisan
dapat dilihat apabila turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad shallallahu
`alaihi wasallam, baginda Nabi akan memanggil beberapa orang sahabat untuk
mencatatkan segala butiran tentang wahyu tersebut.
Baginda memerintahkan para sahabat ini
agar hanya menulis wahyu yang baginda perintahkan ditulis dan melarang mereka
menulis sesuatu yang tidak diperintahkan menulisnya. Ini kerana baginda bimbang
akan terjadi percampuran ayat-ayat Allah dengan yang bukan dari-Nya.
Antara sahabat-sahabat yang terlibat
dalam tugas mencatat (penulis wahyu) ini adalah:
·
Abu Bakar As-Siddiq;
·
Umar bin Al-Khattab;
·
Uthman bin `Affan;
·
Ali bin Abi Thalib;
·
Muawiyah bin Abi Sufyan
·
Zaid bin Thabit;
·
Ubay bin Ka`ab;
·
Khalid bin Al-Walid;
·
Thabit bin Qays.
Para sahabat menulis ayat-ayat Al-Quran
ini pada pelbagai benda seperti:
·
kepingan batu,
·
pelepah tamar,
·
tulang-tulang unta atau biri-biri yang telah
kering,
·
keping-keping kayu,
·
kulit-kulit
Meskipun begitu, Nabi Muhammad shallallahu
`alaihi wasallam tidak pula mengumpulkan seluruh ayat Al-Quran tersebut di
dalam satu mushaf. Bahkan ayat-ayat itu bercampur-campur dan berselerakan di
sana-sini. Keadaan ini terjadi kerana para pembaca dan penghafaz Al-Quran pada
masa itu adalah ramai, mereka telah menghafalnya mengikut susunan yang Nabi
tunjukkan. Tambahan pula Nabi sendiri sentiasa tertunggu-tunggu kemungkinan
turunnya wahyu seterusnya.
KESIMPULAN
Al-Quran pada zaman Nabi Muhammad shallallahu
`alaihi wasallam tidak dikumpul keseluruhannya dalam satu mushaf. Namun begitu
para sahabat telah menghafaz keseluruhannya mengikut sebagaimana yang
ditunjukkan kepada mereka oleh Nabi dan diterangkan tempat letak segala ayat
dan surah seperti yang diarahkan oleh Allah.
Setelah ditulis, maka semua tulisan itu
disimpan di rumah Nabi Muhammad shallallahu `alaihi wasallam. Lembaran catatan
Al-Quran yang dikumpul dan disimpan di rumah Nabi inilah yang menjadi rujukan
utama Zaid bin Thabit setelah beliau ditugaskan supaya mengumpul Al-Quran oleh
Khalifah Abu Bakar dan pembukuannya pada zaman Khalifah Uthman bin `Affan (Mustaffa Abdullah, 2018) .
RUJUKAN
Al-Zarkasyi.
(1998). Al-Burhan fi Ulum al-Quran. Kaherah: Mustafa al-Baby al-Halabi.
Jalal al-Din al-Suyuti. (1990). Al-Itqan fi `Ulum
al-Quran. Kaherah: Dar al-Risalah.
Juriah Mohd Amin. (1998). Kemukjizatan al-Quran dan Sains.
Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Manna al-Qattan. (2000). Mabahith fi `Ulum al-Quran.
Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
Mustaffa Abdullah. (2018). ABSQ2103 Ulum al-Quran (ed.
3). Shah Alam: Open University Malaysia (OUM).
No comments:
Post a Comment