Tuesday 24 July 2018

KONSEP, FUNGSI & PERTIMBANGAN EKONOMI DALAM PERKAHWINAN


Kata kunci: konsep perkahwinan, fungsi-fungsi perkahwinan, pertimbangan ekonomi dalam perkahwinan, manusia masyarakat dan budaya, sains sosial.



1.0   pengenalan

Perkahwinan merupakan sebuah institusi yang membentuk suatu keluarga yang terdiri daripada lelaki (suami), wanita (isteri) dan anak-anak hasil dari perkahwinan mereka. Ianya juga merupakan satu budaya yang wujud di seluruh dunia dan meliputi sesebuah masyarakat atau komuniti sesuatu tempat. Namun begitu, setiap masyarakat dan komuniti tersebut mempunyai peraturan perkahwinan yang berbeza-beza dan berlainan caranya mengikut kebudayaan mereka masing-masing yang menyelaraskan erti perkahwinan itu sebagai sesuatu yang bersesuaian dengan faktor geografi dan budaya setempat.
Secara umumnya perkahwinan bukanlah suatu yang mudah ditakrifkan. Namun  dapat difahami sebagai penyatuan dua pihak yakni lelaki dan wanita dewasa yang membenarkan hubungan seks antara lelaki dan wanita terlibat sebagai pasangan suami isteri dan mengatur hak-hak ekonomi antara mereka. Selain itu, perkahwinan dapat difahami sebagai suatu hubungan yang mengikat antara dua orang yang diiktiraf oleh penguasa/undang-undang atau diikat oleh agama dan kepercayaan dua pihak yang terlibat.
Tujuan esei ini adalah untuk membincangkan konsep perkahwinan, fungsi-fungsi perkahwinan dan pertimbangan ekonomi dalam perkahwinan. Penulisan ini secara ringkas akan merangkumi perbincangan berkaitan mas kahwin (bride price), bride service, dowry dan pertukaran timbal balas yang merupakan aspek pertimbangan ekonomi dalam perkahwinan di samping perbincangan berkaitan pengaturan hubungan seksual, pembahagian tugasan dan pembelaan kebajikan anak-anak yang merupakan fungsi-fungsi perkahwinan.

2.0   KONSEP PERKAHWINAN

Perkahwinan bukanlah suatu konsep yang mudah didefinisikan. Penggunaannya amat meluas dalam kalangan orang kebanyakan dan ahli-ahli sains sosial, tetapi maknanya sering bergantung kepada konteks budaya. Ferraro (2006) mendefinisikan perkahwinan sebagai rangkaian majlis menurut adat yang menghasilkan suatu pengisytiharan rasmi terhadap hubungan antara lelaki dan perempuan dewasa dalam sesebuah keluarga. Definisi ini membawa maksud bahawa pasangan lelaki dan wanita dewasa yang disatukan melalui ikatan perkahwinan yang diiktiraf dibenarkan mengatur dan mengadakan hubungan seksual sebagai sepasang suami dan isteri serta menyusun hak-hak ekonomi antara mereka.
A New Dictionary of Sociology pula mentakrifkan perkahwinan sebagai suatu pertalian antara dua orang berlainan jantina yang diperkenan/dipersetujui/diterima oleh kelompok masyarakat dengan jangkaan pertalian yang dibina berkekalan sehingga kelahiran bayi.
Menurut Islam pula, perkahwinan adalah suatu pertalian yang utuh dan kukuh dengan perantaraan akad nikah yang sah antara lelaki dengan perempuan untuk mengharungi kehidupan berumahtangga sebagai suatu pasangan suami dan isteri. Islam mensyariatkan perkahwinan dengan tujuan mengembang-biakkan zuriat dan keturunan manusia melalui perhubungan kelamin yang dihalalkan sebagai penyambung keturunan untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Surah An-Nisa’ ayat 1, Allah subhanahu wa taala telah berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada  (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai...”
Menurut ajaran Islam juga, fitrah manusia menuntut kepada hidup berpasang-pasangan. Lantas disyariatkan perkahwinan bagi meraikan fitrah tersebut. Ia juga merupakan sunnah Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam dan menjadi suatu ibadat bagi mereka yang melakukannya. Kehidupan yang baik, sempurna, dan penuh bertanggungjawab adalah suatu aturan yang dapat dirasai oleh orang yang berkahwin. Rumah tangga dan ahli keluarganya merupakan beban tanggungjawab yang perlu dipikul oleh orang yang berkahwin secara keseluruhannya. Allah mengganjari pahala terhadap segala perbuatan yang dilakukan demi kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga. Selain itu, bagi meneruskan dakwah mengatasi masalah sosial dalam masyarakat, mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam untuk melahirkan generasi yang soleh, Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam menggalakkan umatnya mengikut sunnahnya iaitu berkahwin (Konsep perkahwinan dalam Islam, 2004).
Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: Daripada Anas radhiyallahu `anhu katanya, telah bersabda nabi shallallahu `alaihi wasallam bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang benci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku.

3.0   FUNGSI-FUNGSI PERKAHWINAN

Perkahwinan yang membentuk institusi keluarga memainkan pelbagai peranan dan fungsi untuk masyarakat. Fungsi-fungsi perkahwinan adalah seperti mengatur hubungan seksual antara suami dan isteri, mengatur pembahagian tugasan antara suami dan isteri dan memastikan kebajikan anak-anak dibela sepenuhnya (Mohamed Yusoff Ismail, Sarjit, Azahar Ahmad Nizar, & Sheith Faikis Abu Bakar, 2009).

3.1      HUBUNGAN SEKSUAL

      Hubungan seksual yang yang diatur secara stabil antara suami dan isteri untuk tujuan prokreasi (pembiakan) adalah antara fungsi perkahwinan. Wanita secara kebiasaannya akan hamil apabila terjadinya hubungan seksual antaranya dengan seorang lelaki. Hubungan seksual atau persetubuhan ini jika tiada mekanisme pengawalannya boleh membawa kepada kerosakan kepada masyarakat (Mohamed Yusoff Ismail, Sarjit, Azahar Ahmad Nizar, & Sheith Faikis Abu Bakar, 2009).
      Kehamilan atau reproduksi boleh dikawal dengan perkahwinan yang sah di sisi undang-undang dan diterima masyarakat. Oleh yang demikian, persetubuhan dan hubungan seks yang dilakukan tanpa ikatan perkahwinan boleh dibanteras dengan menggunakan tindakan undang-undang yang wujud mengikut budaya dan tempat masing-masing.
Justeru, jelas bahawa perkahwinan berfungsi membenarkan perlakuan hubungan seks antara suami dan isteri dan melarang perbuatan tersebut terhadap mereka yang tidak terikat dengannya. Tujuannya ialah menghalang daripada kerosakan dalam masyarakat terus berleluasa seperti kehamilan tanpa nikah dan gejala buang bayi tak sah taraf.

3.2      PEMBAHAGIAN TUGAS

      Perkahwinan juga menyediakan mekanisme sosial yang mengatur pembahagian tugas mengikut jantina. Kebanyakan masyarakat membahagikan pekerjaan mengikut jantina. Contohnya dalam sesetengah masyarakat, golongan lelaki bertugas mencari dan membekalkan makanan dan memberikan perlindungan keselamatan kepada seluruh ahli keluarganya. Mereka akan keluar bekerja seperti memburu di hutan, menjadi nelayan yang menangkap ikan di lautan atau melakukan aktiviti perekonomian yang lain bersesuaian dengan kehidupan mereka. Manakala golongan wanita menjalankan tugas sebagai pembantu dalam mendapatkan makanan dari tempat yang berhampiran sekitar rumah dan kawasan yang tidak berbahaya (Abdullah Taib, 1985).
      Lazimnya, pembahagian tugasan mengikut jantina ini dapat dilihat dengan mata kasar dalam aspek biologi dan juga cara memperoleh rezeki apabila golongan lelaki kebiasaannya ditugaskan dengan tugasan yang berat sesuai dengan biologinya seperti tugasan yang mengkehendakinya untuk mengharungi perjalanan yang jauh, yang memerlukan kepada penggunaan tenaga yang banyak seperti memburu dan menangkap ikan. Manakala wanita pula melakukan tugasan yang tidak memerlukan kepada tenaga yang banyak dan tugasan yang cenderung kecekapan melakukannya dimiliki oleh golongan wanita seperti memelihara anak kecil, memasak dan menjahit pakaian (Abdullah Taib, 1985).
      Perkahwinan telah menyelesaikan permasalahan tugas dan tanggungjawab seorang lelaki dan wanita dalam sesebuah keluarga. Pembahagian tugasan sebegini juga telah menjadi tradisi dan diterima pakai oleh masyarakat dengan baiknya.

3.3      KEBAJIKAN ANAK-ANAK

      Ketiga, perkahwinan berfungsi dalam memastikan kebajikan anak-anak terjaga dan tidak terabai. Kebajikan yang dimaksudkan merangkumi perkara dari aspek pendidikan anak-anak, kasih sayang dan lain-lain keperluan (Mohamed Yusoff Ismail, Sarjit, Azahar Ahmad Nizar, & Sheith Faikis Abu Bakar, 2009).
      Lelaki dan wanita yang menjadi ibu bapa dalam keluarga perlu memahami keperluan semasa anak-anak dan melindungi mereka dari bahaya seterusnya bersungguh-sungguh memastikan diri mereka bertanggungjawab dalam menyediakan perkara tersebut.

4.0   PERTIMBANGAN EKONOMI DALAM PERKAHWINAN

Pertimbangan ekonomi menjadi pendorong untuk berkahwin bagi kebanyakan masyarakat. Perkahwinan juga menurut kebanyakan anggota masyarakat bertujuan mendapatkan tenaga kerja dan memperkukuh hubungan ekonomi, bukanlah untuk melakukan seks kerana kepuasan dalam seks terlalu mudah didapatkan. Ungkapan yang terdapat dalam masyarakat Jerman berkaitan ekonomi dalam ikatan perkahwinan mengatakan bahawa bukanlah seorang wanita itu dikahwini oleh seorang lelaki, akan tetapi adalah satu ladang yang dikahwini satu ladang atau seekor kerbau yang dikahwini seekor kerbau yang lain. Ungkapan ini membawa maksud bahawa aspek ekonomi turut terlibat sama sebagai manfaat yang dipertimbangkan dalam perihal perkahwinan satu-satu masyarakat (Abdullah Taib, 1985).
Perkahwinan dianggap sebagai suatu kontarak yang mengikat suami dan isteri serta ahli keluarga mereka bagi kebanyakan masyarakat. Pertimbangan ekonomi dalam bentuk pertukaran barangan dan perkhidmatan adalah sebahagian unsur yang wujud di dalam kontrak ini. Pertukaran ekonomi ini berlaku sebelum atau semasa perkahwinan dalam kebanyakan masyarakat. Pertukaran ini dibahagi kepada empat iaitu mas kahwin, bride service, dowry, pertukaran timbal balas (Mohamed Yusoff Ismail, Sarjit, Azahar Ahmad Nizar, & Sheith Faikis Abu Bakar, 2009).

4.1      MAS KAHWIN

      Mas kahwin merupakan satu daripada bentuk pertukaran ekonomi dalam perkahwinan. Ia merupakan pemberian wang atau barang kepada keluarga pengantin perempuan atau kepada pengantin perempuan itu sendiri dan keluarganya oleh pihak pengantin lelaki. Pemberi mas kahwin adalah dari pihak keluarga lelaki manakala penerimanya adalah berbeza-beza mengikut budaya masyarakat. Kesediaan dan sifat tanggungjawab pengantin lelaki untuk mengahwini pengantin perempuan ditandai dengan pemberian mas kahwin ini.
Lazimnya, menurut budaya moden masyarakat sekarang, wang adalah bentuk bayaran pertukaran yang kerap digunakan. Namun masih lagi terdapat budaya-budaya lain yang menggunakan haiwan peliharaan ternakan dan bahan makanan seperti kerbau, kuda dan biri-biri sebagai bayaran mas kahwin mereka. Selain itu, terdapat budaya yang memberikan barangan sebagai mas kahwin. Barangan seperti tikar, selimut dan lembing sering digunakan sebagai mas kahwin bagi budaya sebegini.
Misalnya, lembu digunakan sebagai pemberian dalam perkahwinan bagi masyarakat Swazi di Afrika Selatan. Semakin tinggi status sosial wanita yang hendak dikahwini, semakin banyak bilangan lembu yang diberikan. Namun bilangan 12 ekor lembu adalah jumlah pemberian yang biasa diterima oleh keluarga wanita dari kumpulan kebanyakan dalam masyarakat ini (Kuper, 1963). Selain itu, babi juga digunakan sebagai pemberian perkahwinan kepada keluarga pihak pengantin perempuan bagi masyarakat Ifugao di Filipina. Pemberian babi ini melambangkan bahawa perempuan itu diterima sebagai isteri kepada lelaki. Manakala kain selimut tebal yang merupakan keperluan setiap individu adalah pemberian yang digunakan pula dalam masyarakat Eskimo (Abdullah Taib, 1985).
Walau bagaimanapun, kedudukan dan status sosial wanita tidaklah direndahkan seperti hamba dalam masyarakat dengan pembudayaan pemberian dan pertukaran yang berlaku dalam perkahwinan seperti yang ditanggapi oleh masyarakat Barat. Bahkan ia adalah suatu bentuk mengangkat martabat golongan wanita dan keluarganya. Mas kahwin memainkan peranan positif yang pelbagai seperti memberi jaminan terhadap layanan baik yang akan diterima oleh isteri sepanjang tempoh berumahtangga. Ia juga menjadi suatu mekanisme yang baik dalam menstabilkan perkahwinan dengan mengurangkan risiko penceraian. Mas kahwin juga berperanan sebagai satu simbolik penyatuan dua kerabat yang besar dan juga sebagai satu bentuk mekanisme dalam mengesahkan perkahwinan secara tradisional (Mohamed Yusoff Ismail, Sarjit, Azahar Ahmad Nizar, & Sheith Faikis Abu Bakar, 2009)

4.2      BRIDE SERVICE

      Seterusnya, bentuk pertukaran ekonomi dalam perkahwinan adalah bride service iaitu pemberian khidmat kepada bakal isteri atau golongan keluarga isteri oleh lelaki yang ingin berkahwin. Pemberian khidmat oleh pengantin lelaki kepada pihak bakal isteri merupakan satu jenis perkhidmatan yang memerlukan pengantin lelaki untuk berkhidmat kepada keluarga wanita tersebut samada sebelum atau selepas perkahwinan berlangsung. Tempoh berakhirnya sesuatu perkhidmatan yang dilaksanakan adalah berbeza mengikut budaya dan masyarakat tertentu. Ada yang selesai dalam tempoh hanya beberapa bulan dan ada yang selesai selepas beberapa tahun selepas perkahwinan. Tempoh masa perkhidmatan ini adalah ditentukan oleh keluarga pihak wanita. Misalnyanya, pengantin lelaki dalam masyarakat Eskimo di Alaska perlu berkhidmat untuk bapa mertuanya selepas perkahwinan sebagai menyelesaikan tanggungjawabnya. Hal ini bagi membuktikan, bahawa lelaki tersebut sanggup dan mampu menjaga anaknya nanti. Tugas yang selalu dilaksanakan oleh kelompok ini ialah menangkap singa laut (Abdullah Taib, 1985).
Kebiasaannya masyarakat yang berskala kecil dan hidup secara nomad menggunakan bride service sebagai pertimbangan ekonomi dalam perkahwinan berbanding pemberian mas kahwin. Hal ini kerana golongan ini tidak mengumpul barangan dan wang. Tambahan pula kemahiran seperti berburu haiwan adalah kemahiran yang diperlukan dalam memastikan kelangsungan hidup mereka menjadikan skop bidang perkhidmatan bersifat objektif. Lantas, perkhidmatan ini dilaksanakan bertujuan menggantikan mas kahwin.

4.3      DOWRY

      Dowry dimaksudkan sebagai wang, harta atau barangan bernilai yang diberikan oleh keluarga pengantin perempuan kepada pengantin lelaki atau keluarganya pada masa perkahwinan. Kebanyakan budaya menyatakan bahawa dowry tidak hanya membantu mengukuhkan hubungan antara keluarga pengantin lelaki dan pengantin perempuan tetapi juga berfungsi memperkuat peranan keluarga dan peranan jantina (New Dictionary of Cultural Literacy, Third Edition, t.t).
      Amalan dowry adalah sinonim dengan masyarakat di India. Dowry merupakan barangan berharga/tahan lama, wnag tunai dan hartanah yang diberikan kepada pengantin lelaki, ibu bapanya atau ahli keluarganya yang lain oleh pihak keluarga pengantin perempuan sebagai syarat untuk melangsungkan perkahwinan. Pada asasnya, dowry berbentuk bayaran tunai atau sejenis hadiah yang diberikan kepada keluarga pengantin lelaki bersama-sama penyerahan pengantin perempuan termasuk barang kemas, peralatan elektrik, perabot, peralatan tidur dan lain-lain barangan rumah yang membantu pasangan hidup berumahtangga (Dowry system in India, t.t).
      Pemberian dowry telah dilarang di India kerana difikirkan memberi bebanan kewangan yang besar kepada keluarga pengantin perempuan. Wujud sebilangan kes jenayah yang meletakkan wanita dalam situasi berbahaya bermula dari gangguan emosi yang besar, kecederaan sehinggakan kepada kematian akibat daripada pengamalan sistem pemberian dowry di sana.
      Kematian akibat dowry atau lebih dikenali sebagai dowry death merupakan suatu jenayah yang menjurus kepada kematian golongan wanita samada mereka dibunuh oleh keluarga lelaki atau mereka membunuh diri disebabkan tidak dapat bertahan dengan gangguan dan penyeksaan yang berterusan oleh suami dan mertuanya. Perkara ini terjadi apabila pihak pengantin lelaki dan keluarganya tidak berpuas hati dengan nilai dan jumlah dowry yang diterima dan ingin memeras keluarga pengantin perempuan dengan meletakkan nyawa pengantin perempuan sebagai taruhan. Sebanyak 8391 jumlah kematian yang dilaporkan berlaku di India disebabkan kes sebegini pada tahun 2010. Dowry death juga berlaku di beberapa tempat yang masyarakatnya mengamalkan sistem pemberian dowry. Misalnya Pakistan, Bangladesh, Iran dan Australia (Dowry death, t.t).
Pemberian dowry yang selalunya ditetapkan dengan kadar jumlah yang tersangat tinggi dan didasarkan kepada kepentingan perseorangan dan budaya semata-mata bukan sahaja mengakibatkan pelbagai masalah dan kerosakan dalam masyarakat, malah turut mengakibatkan ramai wanita di India tidak berkahwin kerana tidak mampu untuk menyediakan dowry tersebut. Antara kerosakan lain yang wujud dalam masyarakat termasuklah pembunuhan bayi-bayi perempuan oleh keluarganya kerana tidak sanggup menanggung derita dan sengsara mengumpul dowry. Hal-hal negatif yang berkaitan dengan pengamalan dowry  telah menyebabkan amalan ini dilarang dikebanyakan tempat secara undang-undangnya. Namun larangan ini tidak dapat menghalang masyarakat-masyarakat yang berpegang teguh dengan budaya daripada mengamalkannya mahupun secara salah dari aspek undang-undang (illegal practices).

4.4      PERTUKARAN TIMBAL BALAS

      Pertimbangan ekonomi dalam perkahwinan yang seterusnya adalah pertukaran timbal balas atau disebut juga sebagai pertukaran hadiah. Masyarakat pribumi Amerika dan di rantau Pasifik mengamalkan pertukaran timbal balas sebagai satu pertukaran ekonomi dalam perkahwinan. Ahli keluarga suami dan isteri terlibat dalam pertukaran hadiah ini yang dilakukan secara sama rata. Persekutuan dan penyatuan dua buah keluarga besar merupakan penekanan yang dititikberatkan dalam pengamalan pertukaran ini, bukan semata-mata penyatuan antara seorang lelaki dan seorang isteri (Mohamed Yusoff Ismail, Sarjit, Azahar Ahmad Nizar, & Sheith Faikis Abu Bakar, 2009).
      Sebahagian masyarakat yang berbudaya sebegini menuntut kepada persetujuan antara kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan perempuan. Kadar nilai dan jumlah hadiah yang dimahukan akan ditentukan dan dipersetujui bersama dan selalunya nilai pertukaran yang berlaku adalah hampir sama antara keduanya. Misalnya, di Pulau Andaman, kaum keluarga kedua-dua belah pihak akan bertemu dan melakukan pertukaran barangan hadiah yang terdiri daripada makanan atau barang tertentu sebaik sahaja seorang lelaki menyatakan hasrat ingin mengahwini seorang wanita. Pertukaran ini dilakukan oleh kedua keluarga terlibat sehinggalah perkahwinan berlangsung. Kebiasaannya, pihak ketiga akan dipertanggungjawabkan sebagai orang tengah bagi menghantar hadiah oleh pihak keluarga (Abdullah Taib, 1985).

5.0  KESIMPULAN

Konklusinya, secara umum setiap masyarakat mempunyai aturan perkahwinannya sendiri mengikut budaya mereka tersendiri. Hal ini termasuklah kebenaran melakukan hubungan seks dan amalannya bagi pasangan yang sudah berkahwin samada secara sosial ataupun secara sah di sisi undang-undang. Selain itu, tanggungjawab ekonomi antara seorang lelaki dengan seorang wanita amatlah ditekankan oleh institusi perkahwinan. Hubungan ini adalah hubungan yang berterusan. Wujud aturan timbal balik dan juga tanggungjawab antara suami isteri dan antara mereka dengan anak mereka hasil daripada hubungan ini. Perkara yang paling penting dilihat dalam perkahwinan adalah perlakuan hubungan seks antara lelaki dan perempuan serta jalinan hubungan ekonomi antara mereka adalah dibenarkan oleh institusi perkahwinan. Sebahagian besar masyarakat di dunia ini berkahwin menjadikan institusi perkahwinan sebagai suatu institusi sejagat. Jelas di sini bahawa sekiranya perkahwinan tidak memberikan faedah ataupun kebaikan kepada anggota masyarakatnya, ia tidak mungkin wujud perkahwinan dalam semua masyarakat.
Faedah dan kebaikan yang diperolehi daripada perkahwinan adalah seperti manfaat dalam memuaskan kehendak seks melalui jalan yang dibenarkan samada secara sosial, agama mahupun undang-undang. Perkahwinan juga memberikan manfaat tenaga kerja dalam kehidupan melalui agihan dan pembahagian tugasan yang dilakukan yang kebiasaannya berkaitan dengan biologi dan sistem pencarian makanan. Dua aspek ini telah membahagikan tugasan mengikut jantina di mana lelaki secara tradisinya akan melakukan aktiviti tugas yang lebih berat dan lebih mencabar berbanding wanita. Namun tidak menunjukkan bahawa pembahagian tugas dilakukan secara tidak adil malahan masing-masing ditugaskan secara bersesuaian mengikut kebolehan dan budaya masing-masing. Melalui perkahwinan, permasalahan pembahagian tugasan dapat diselesaikan. Selain itu, institusi perkahwinan juga memberi manfaat dalam menjamin kebajikan dan keselamatan anak-anak hasil daripada perkahwinan suami dan isteri tersebut.
Akhir sekali, perkahwinan melibatkan pertimbangan ekonomi dalam bentuk pertukaran samada wang, barangan ataupun perkhidmatan. Pertukaran ekonomi ini dibahagikan sebagai mas kahwin, bride service, dowry dan pertukaran timbal balas. Mas kahwin adalah pemberian wang atau barangan yang diberikan kepada keluarga pengantin perempuan. Bride service merupakan perkhidmatan yang dilakukan oleh pengantin lelaki kepada keluarga pengantin perempuan yang kebiasaannya kedua-dua pihak adalah dari masyarakat yang hidup secara nomad dan berburu adalah untuk kelangsungan hidup. Dowry pula adalah amalan sesetengah budaya di mana pihak pengantin perempuan memberikan wang, barangan dan lain-lain keperluan rumah kepada keluarga pengantin lelaki. Barangan ini digunakan oleh pasangan lelaki dan perempuan bagi memulakan rumahtangga yang baru dibina. Ketidakpuasan hati pihak keluarga lelaki terhadap jumlah dan nilai dowry yang diterima boleh mengancam keselamatan dan nyawa pengantin perempuan. Pengantin perempuan selalunya akan dianiayai oleh keluarga lelaki dan akhir sekali dibunuh kerana tuntutan dowry yang tinggi tidak ditunaikan. Fenomena ini dipanggil sebagai dowry death. Pertukaran timbal balas pula adalah pertukaran hadiah antara kedua-dua pihak keluarga yang nilainya telah dipersetujui bersama.
Tuntasnya dapat disimpulkan bahawa institusi perkahwinan wujud di serata dunia dengan berbeza-beza upacaranya mengikut budaya dan masyarakat, namun fungsinya sama dalam menyempurnakan manusia sebagai seorang insan sosial.

6.0  RUJUKAN


 


Abdullah Taib. (1985). Asas-asas antropologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dowry death. (t.t). Didapatkan November 3, 2017, daripada Wikipedia: https://en.wikipedia.org/wiki/Dowry_death
Dowry system in India. (t.t). Didapatkan November 3, 2017, daripada Wikipedia: https://en.wikipedia.org/wiki/Dowry_system_in_India
Ferraro, G. (2006). Cultural anthropology: An applied perspective (6th ed.). Belmont: Thomson Wadsworth.
Konsep perkahwinan dalam Islam. (2004, April 19). Didapatkan dari Portal komuniti ukhwah.com: http://ukhwah.com/ukhwah/print.php?sid=1093
Kuper, H. (1963). A South African Kingdom: The Swazi. New York: Holt, Rinehart and Winston.
Mitchell, G. D. (Ed.). (1979). A new dictionary of sociology. London: Routledge and Kegan Paul.
Mohamed Yusoff Ismail, Sarjit, S., Azahar Ahmad Nizar, & Sheith Faikis Abu Bakar. (2009). Modul ABXM1103 Manusia, masyarakat dan budaya (ed. 1). Kuala Lumpur: Open University Malaysia (OUM).
New Dictionary of Cultural Literacy, Third Edition. (t.t). (The American Heritage) Didapatkan November 2, 2017, daripada Dictionary.com: http://www.dictionary.com/browse/dowry




No comments:

Post a Comment

KONSEP, FUNGSI & PERTIMBANGAN EKONOMI DALAM PERKAHWINAN

Kata kunci: konsep perkahwinan, fungsi-fungsi perkahwinan, pertimbangan ekonomi dalam perkahwinan, manusia masyarakat dan budaya, sains...